SINGAPURA: Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) menyerahkan sumbangan bernilai S$15,000 kepada Masjid Hasanah pada Sabtu (28 Dis) untuk menyokong projek naik taraf masjid tersebut.
Kerja naik taraf yang dijalani masjid yang terletak di Teban Gardens itu, antara lain termasuk membaiki muka bangunan masjid tersebut, menambah baik sistemnya dan menaik taraf kemudahannya.
Pengerusi Eksekutif Masjid Hasanah, Encik Mohamad Rafi Eusope mengalu-alukan sokongan MTFA yang tidak berbelah bagi terhadap usaha masjid itu menaik taraf prasarananya agar dapat "menyediakan ruang yang lebih inklusif, mudah diakses dan kondusif" bagi para jemaah.
"Sokongan ini benar-benar berharga dan akan membantu dalam meneruskan dan meningkatkan inisiatif serta usaha kita, insya-Allah," ujar Encik Mohamad Rafi.
Cek bernilai S$15,000 itu diserahkan Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah kepada Pengerusi Eksekutif masjid itu dalam satu majlis yang diadakan Sabtu lalu, sempena pelancaran rasmi inisiatif "Our Community Pantry", kelolaan masjid tersebut.
Mengulas mengenai sumbangan MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah berkata: "Menjadi satu penghormatan dan kewajipan kami untuk menyokong perbelanjaan dan kos projek naik taraf masjid sedemikian kerana ia adalah sebahagian daripada matlamat Perlembagaan MTFA."
Selain sokongan dari segi kewangan, MTFA turut merancang untuk bekerja rapat dengan masjid itu bagi projek-projek seterusnya, seperti menyokong bekalan 'pantry' masyarakat atau berganding bahu dengan asatizah masjid untuk menyediakan kelas agama bagi mereka yang kurang bernasib baik, antara lain.
MTFA JUGA SUMBANG S$5,000 KEPADA MASJID HAJJAH FATIMAH, BANTU KELUARGA BERGAJI RENDAH
Seramai 100 penerima bantuan daripada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar Masjid Hajjah Fatimah meraih manfaat daripada sumbangan MTFA bernilai S$5,000 dengan kerjasama Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA).
Mereka menerima sumbangan tersebut dalam bentuk baucar pasar raya Sheng Siong untuk sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan mereka.
Sumbangan itu disampaikan dalam satu acara berasingan yang diadakan pada Ahad (29 Dis), yang turut merangkumi majlis Khatam Al-Quran anjuran wakil MTFA Ihsan Aid, sukarelawan masjid dan penerima bantuan UIMA.
Pegawai Agama Masjid Hajjah Fatimah, Ustaz Syaaban Piperdy menyifatkan sokongan MTFA sebagai "bukti perpaduan masyarakat".
"Sumbangan ini, yang diteruskan daripada ikatan yang terjalin lebih 100 tahun antara MTFA dan Masjid Hajjah Fatimah, juga mampu mengukuhkan hubungan yang menyatukan kami dalam berkhidmat dan belas kasihan."
"Kolaborasi ini dengan MTFA dan UIMA membolehkan kami untuk memperluaskan rangkaian dan impak yang kami bawa. Dengan sumbangan MTFA, kami boleh menyediakan lebih banyak sokongan kepada mereka yang memerlukan dalam masyarakat.
SUMBANGAN MTFA KEPADA MASJID TEMPATAN TEKAN KOMITMEN KEPADA MASYARAKAT
Mengulas mengenai sumbangan yang dihulurkan MTFA kepada kedua-dua masjid itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-Aidaroos mengatakan bahawa sumbangan itu sejajar dengan komitmen mereka kepada Ihsan - iaitu berusaha ke arah kecemerlangan dan belas kasihan dalam berkhidmat kepada masyarakat.
"Melalui sokongan yang ikhlas dan bertimbang rasa terhadap golongan yang kurang bernasib baik, kami berhasrat untuk menyuntik semangat, mendampingi dan memperkasa semangat untuk saling menjaga antara satu sama lain, yang telah mentakrifkan pertubuhan kami selama 120 tahun.
"Dengan Ihsan, kami boleh terus mengukuhkan masyarakat kami dan menyediakan bantuan yang bermakna kepada masjid dan jemaah mereka," tambahnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss